|
Majlis Aku Janji PMR dan SPM 2010 telah dijalankan pada 16 Mac 2010 bertempat di Dewan Perdana Putra. Majlis telah disempurnakan perasmiannya oleh En. Anuar bin Jais, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Kulai. Turut hadir dalam majlis perasmian berkenaan ialah En. Azman Adnan, Pengetua SMK Bandar Putra, Dr. Ngasri Dimon, Pengerusi PIBG dan En. Zainal Abidin Mohd Arif, Pengerusi Badan Permuafakatan Asrama.
Semua guru SMK Bandar Putra, semua calon PMR dan SPM bersama ibu bapa/penjaga masing-masing turut melafazkan ikrar dan janji masing-masing untuk memastikan sasaran peperiksaan PMR dan SPM bagi tahun 2010 dapat direalisasikan. Mohd Hapiz Zainal Abidin, En. Azman dan Dr Ngasri sebelum itu turut menandatangani dokumen aku janji mewakili semua murid, guru dan ibu bapa dihadapan Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Kulai sebagai simbol iltizam murid, guru dan ibu bapa untuk merealisasikan matlamat sekolah ini.
En. Anuar dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah dan PIBG yang telah mengambil inisiatif mengadakan majlis ini sebagai tanda komitmen semua pihak – guru, pelajar dan ibu bapa untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan PMR dan SPM.
“Kejayaan cemerlang pelajar dalam akademik tidak seharusnya dipertanggungjawabkan kepada guru sekolah sahaja, sebaliknya ibu bapa perlu memberikan sokongan padu mengikut keupayaan masing-masing bagi memastikan anak-anak mereka sentiasa bersedia lebih awal untuk menghadapi peperiksaan besar ini. Pelajar-pelajar juga perlu lebih bersikap proaktif, sentiasa mendisiplinkan diri dan berusaha melipatkan gandakan usaha melalui pengajaran pembelajaran di bilik darjah, membuat latihan dan mengulangkaji pelajaran masing-masing . Usaha pelajar, bimbingan guru dan sokongan ibu bapa pasti mampu menelorkan hasil yang boleh kita banggakan pada tahun 2010 ini,” tegas beliau.
En. Azman pula dalam ucapannya menyatakan bahawa pihak sekolah mensasarkan pencapaian peratus kelulusan dan GPS yang lebih baik untuk PMR dan SPM bagi tahun ini. Sekolah mensasarkan pencapaian 100% dalam PMR dan SPM dengan GPS PMR 1.20 dan SPM 2.50. Selain daripada itu pihak sekolah juga telah menetapkan matlamat menghasilkan calon semua A bagi PMR sekurang-kurangnya 130 orang dan SPM sekurang-kurangnya 30 orang. Penetapan sasaran ini dibuat berdasarkan TOV peperiksaan PMR dan SPM tahun 2009 yang lalu.
“Pada tahun 2009, SMK Bandar Putra telah dapat meningkatkan pencapaiannya dengan GPS 1.22 dalam PMR dengan 103 orang memperoleh semua A manakala dalam SPM dapat meningkatkan GPS kepada 2.54 dengan peningkatan semua A kepada 25 orang. Pencapaian ini sekaligus meletakkan sekolah ini pada kedudukan pertama di daerah Kulai dan 10 teratas di peringkat negeri Johor,’’ ujar beliau.
Dr. Ngasri turt mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang banyak merancang program sokongan, memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada semua calon sehingga memperoleh kejayaan yang cemerlang. PIBG akan sentiasa membantu pihak sekolah untuk memastikan impian tahun 2010 akan dapat direalisasikan.





|